Jalur lebar (broadband) merupakan medium untuk menyambungkan komunikasi berkeupayaan tinggi. Ia merujuk kepada kelebaran spektrum frekuensi yang tersedia untuk digunakan dalam komunikasi. Salah satu contoh ialah ADSL, yang mana "suara" dan data berkongsi bahagian yang berlainan dalam dawai kuprum. „Suara‟ dikendalikan di bawah frekuensi 3.3kHz, manakala data dikendalikan di atas 138 kHz. Ia juga digunakan untuk merujuk kepada capaian internet jalur lebar, di mana sambungan untuk capaian adalah lebih tinggi berbanding modem telefon (56 kbit/s) dengan sambungan 512 kbits/s atau lebih tinggi.
(comel sungguh ikon BB ini)
Definisi jalur lebar berbeza mengikut Negara. Namun secara umumnya diterima bahawa jalur lebar adalah kelajuan transmisi dan kapasiti yang membolehkan video interaktif berkualiti tinggi, data dan aplikasi suara dapat dimuat turun melalui satu saluran. Bagi Malaysia, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) mendefinisikan jalur lebar apabila sesuatu rangkaian itu mampu mencapai kelajuan transmisi data melebihi 128 kilobit sesaat (kbps) yang mana perkhidmatan itu haruslah berterusan dan sentiasa ada. Penggunaan jalur lebar adalah penting bagi mempercepatkan capaian internet dan memudahkan penggunaan aplikasi elektronik seperti perkhidmatan e-kerajaan, e-dagang, e-pendidikan, e-kesihatan, dan sebagainya. Dalam konteks perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin pesat ini, jalur lebar merupakan prasyarat untuk memacu kemajuan sesebuah Negara sama ada dari aspek pembangunan sumber manusia mahupun ekonomi. Hal ini kerana aplikasi teknologi yang digunakan untuk urusan perniagaan dan pentadbiran hari ini menggunakan perkhidmatan jalur lebar sebagai medium utama. Menyedari potensi besar yang mampu dilaksanakan dengan penggunaan jalur lebar secara meluas ini, maka Kerajaan telah memutuskan untuk mempertingkat penembusan jalur lebar di Malaysia pada Mei 2008. Hal ini kerana kadar penembusan jalur lebar di Malaysia adalah amat rendah berbanding dengan negara-negara maju di Asia seperti di Korea, Hong Kong dan Singapura. Pelaksanaan jalur lebar ini bukan sahaja memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi Negara, tetapi juga ia memberikan impak yang besar terhadap pembangunan sosial masyarakat. Aplikasi elektronik yang dapat dilakukan dengan adanya perkhidmatan jalur lebar pastinya akan merubah gaya hidup masyarakat. Kini jalur lebar merupakan keperluan asas selari dengan perkhidmatan bekalan air dan elektrik.





0 comments:
Catat Ulasan